Soalan-soalan yang kerap ditanya untuk rujukan ibadah.

FAQs – Korban & Akikah

1. Pengertian Ibadah Korban

Korban ialah penyembelihan binatang yang dilakukan pada Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah (selepas solat) dan pada hari-hari Tasyrik berikutnya iaitu 11,12,13 Zulhijjah.

2. Kenapa perlu dilaksanakan Ibadah Korban?

Korban hendaklah diniatkan sebagai ibadah kepada Allah swt dan tidak boleh atas tujuan lain. Korban ini mengikut sunnah sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim AS yang kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad SAW.

“Maka dirikanlah solat kerana tuhanmu dan berkorbanlah.” – Surah Al Kawthar 108:2

3. Siapakah yang perlu melaksanakan Ibadah Korban?

Setiap orang yang sudah baligh.

4. Apakah hukum melaksanakan Ibadah Korban?

Sunat muakkad – sunat yang sangat-sangat dituntut. Jika tidak laksanakan amatlah rugi. Rasulullah SAW bersabda “aku disuruh berkorban dan ia sunat bagi kamu” – riwayat At-Tarmizi.

5. Hikmah disebalik pelaksanaan Ibadah Korban

– Menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim AS
– Mendekatkan diri kepada Allah dan mendidik jiwa ke arah taqwa.
– Menghapus dosa & mengharap redho Allah
– Mengikis sifat tamak & melahirkan sifat murah hati
– Memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian sirat di akhirat kelak

Rasulullah SAW bersabda “muliakanlah korban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu meniti titian pada hari kiamat.”

6. Dalil mengenai Ibadah Korban.

Sabda Rasulullah SAW “Tiada dikerjakan oleh anak adam suatu amalan pada hari raya yang lebih digemari Allah Taala daripada menumpahkan darah iaitu menyembelih korban. Sesungguhnya korban itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya dan kuku kakinya dan bahawa darah (korban itu) jatuh ia daripada Allah pada suatu tempat dengan kemuliaan sebelum ia jatuh ke bumi. Maka sukakanlah diri kamu dengan korban itu” – riwayat At Tarmizi & Al Hakim.

7. Bilakah Ibadah Korban dilaksanakan?

Pada hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah dan diikuti dengan hari-hari Tasyrik pada 11,12,13 Zulhijjah.

8. Bolehkah laksanakan Ibadah Korban untuk mereka yang telah meninggal dunia?

Bukan sunat muakkad lagi hukumnya tetapi harus. Jika korban itu diwasiatkan maka wajib laksanakan. Jika korban tersebut untuk ibu bapa yang sudah meninggal juga diterima kerana amalan yang diniatkan oleh anak in sha allah sampai pada ibu bapa mereka.

9. Bolehkah saya laksanakan Ibadah Korban untuk anak saya akan tetapi saya tidak memberitahu mereka?

Ibadah Korban ini dilakukan oleh seseorang untuk dirinya. Maka jika nak buat untuk anak sebaik-baiknya dimaklumkan kepada mereka agar mereka tahu mereka juga berkorban. Dalam masa yang sama kita mengajar mereka untuk melakukan pada masa akan datang.

10. Boleh ke wakilkan orang lain untuk sembelih bagi pihak kita?

Harus mewakilkan orang lain untuk menyembelih qurban dan memadai niat orang yang mewakilkan. Sheikh al-Islam berkata: “Walaupun wakil tidak mengetahui haiwan yang disembelihnya itu adalah haiwan qurban tidak mengapa”.